9 FEB: Tindakan mencerca Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi media sosial rasmi pemimpin atau institusi tertinggi negara dianggap sebagai tindakan yang mementingkan diri dan mempunyai motif.
Ketua Dewan Pemuda PAS, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, perkara itu merupakan tindakan melampau oleh golongan tersebut yang dilihat tidak tahu meletakkan kritikan pada tempatnya.
Menurut beliau, sesetengah warga maya tidak tahu membataskan jari jemari sendiri hingga menampakkan tiada kesetiaan kepada raja dan negara yang juga satu daripada Rukun Negara.
“Mereka melontarkan kebencian dengan merencahkan keburukan dan memarakkan segala ketidakpuasan hati ternyata diapi-apikan secara berlebihan.
“Sedangkan, kesopanan dan kesusilaan adalah Rukun Negara yang menunjukkan salah satu penghormatan serta ciri sepatutnya ada pada rakyat Malaysia,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Oleh itu, Khairil Nizam memberitahu, tidak pelik perkara sama dibawa hingga ke platform pemimpin negara lain yang ketara menunjukkan rasa tidak hormat kepada sesiapa sahaja.
“Walhal, Perdana Menteri telah bertindak berasaskan undang-undang dan segala keputusan adalah secara kolektif yang bukannya peribadi apatah lagi untuk dituduh diktator.
“Malah, ia mendapat pengesahan atau diperkenankan Yang di-Pertuan Agong selaku payung dan pemerintah tertinggi serta kedaulatan negara.
“Demikian itu, perbuatan memburukkan Perdana Menteri selaku pemimpin utama pentadbiran negara serta membangkitkan unsur menentang perkenan diterimanya bermakna merendahkan kedaulatan negara,” katanya.
Apatah lagi, tambah beliau, hal tersebut dilakukan terbuka dan diheret hingga ke pihak luar yang boleh menjejaskan nama negara.
Khairil Nizam berkata, dalam situasi yang sedang melingkari seluruh negara dan dunia akibat pandemik COVID-19, di mana negara telah diisytiharkan di bawah Proklamasi Darurat, tidak harus setiap perkara mahu dilihat sempurna.
“Keutamaan kita bersama adalah memastikan keselamatan dan kebajikan setiap pihak disantuni dengan sebaiknya.
“Beberapa insentif diumumkan kerajaan membuktikan kesungguhan dalam menangani cabaran dihadapi rakyat terutama kalangan B40 dan M40 serta tanpa mengabaikan T20,” katanya.
Dalam pada itu, beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Negara berkata, pergerakan yang dilihat perlahan perlu dikompromi dan difahami oleh semua pihak bahawa ia terjadi atas kekangan terbatas sedang dihadapi di setiap peringkat.
“Hanya kesabaran yang disertai rasa kebersamaan dan keinginan membantu akan membolehkan mereka menerima untuk segala urusan berkaitan sedang dipacu memenuhi tujuannya.
“Malah, jika agenda politik dan kuasa menjadi tekanan kepada pihak tertentu, ingatlah bahawa Perdana Menteri telahpun berjanji,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH