9 FEB: Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, yakin gabungan pelbagai keanggotaan dalam Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 mampu memberi penilaian bebas dan adil untuk negara.
Beliau juga percaya anggota jawatankuasa berkenaan yang terdiri daripada pakar pelbagai bidang termasuk kesihatan awam, wakil parti politik, tokoh pendidikan, kesihatan, keselamatan, ketenteraman awam dan undang-undang mampu memberikan keputusan yang terbaik buat negara.
“Saya berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan dan saya akan bersama dengan gabungan yang dilantik untuk melaksanakan tugasan dalam kerangka yang diberikan.
“Saya berharap gabungan ini akan dapat membuat penilaian yang bebas lagi adil untuk negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai pelantikannya sebagai sebahagian Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dipengerusikan oleh
bekas Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria diumumkan Pejabat Perdana Menteri hari ini.
Terdahulu, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan media berkata, pelantikan berkenaan dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, mengikut Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.
Keanggotaan jawatankuasa itu terdiri daripada pakar kesihatan awam, wakil parti politik pembangkang dan kerajaan, tokoh bidang pendidikan, kesihatan, keselamatan, ketenteraman awam, pentadbiran awam dan undang-undang, mufti serta wakil dewan perniagaan berkenaan berperanan menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai kewujudan berterusan darurat besar di Malaysia dan penamatannya. – Oleh HAIKA KHAZI