9 FEB: Malang sememangnya tidak berbau bagi 24 pekerja sebuah kilang tekstil di Tangiers, Maghribi.
Memetik laporan Agensi Anadolu, mereka meninggal dunia setelah terperangkap dalam kejadian banjir, semalam.
Terdapat kebocoran pada bangunan tersebut sehingga menyebabkan kilang ditenggelamkan air banjir.
“Pihak berkuasa tempatan, keselamatan dan perkhidmatan pertahanan berjaya menyelamatkan sepuluh mangsa yang kemudian dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan,” jelas kenyataan yang dikeluarkan oleh kerajaan Maghribi.
Difahamkan, mangsa-mangsa terbabit meninggal dunia akibat renjatan elektrik yang berpunca daripada peralatan yang rosak.
Pihak berkuasa memulakan siasatan untuk mencari punca kejadian dan menentukan siapa yang sepatutnya dipertanggungjawabkan.