9 FEB: Perbuatan jahat seorang penggodam menceroboh sistem bekalan air di sebuah bandar di pinggir Tampa, Florida di Amerika Syarikat pada Jumaat lalu nyaris menyebabkan lebih 15,000 penduduk mengalami keracunan.
Memetik laporan AFP, seorang pengendali komputer sistem rawatan air Oldsmar mengesan penunjuk tetikus bergerak sendiri selama beberapa minit sebelum menambah bahan kimia natrium hidroksida sehingga 100 kali ganda.
Natrium hidroksida yang bersifat alkali digunakan dalam kuantiti yang sangat sedikit untuk mengawal tahap keasidan dan mengeluarkan logam daripada dalam air sebelum disalurkan ke sistem perpaipan pengguna.
Sheriff Pinellas Country, Bob Gualtieri berkata, situasi itu berlaku kerana ada individu yang mengakses kawalan sistem bekalan air dari jauh.
Beliau memberitahu, penggodam terbabit meningkatkan tahap input natrium hidroksida daripada 100 bahagian kepada 11,100 bahagian per juta kali normal sebelum keluar daripada sistem.
“Ia jelas satu peningkatan yang besar dan berpotensi mendatangkan bahaya. Mujur perbuatan itu dapat dikesan segera,” katanya dalam sidang media.
Gualtieri memberi jaminan, air yang dibekalkan kepada orang ramai adalah selamat kerana tempoh 24 jam diperlukan sebelum air dengan kandungan natrium hidroksida yang tinggi itu disalurkan keluar.
Cuma beliau bimbang kejadian itu membayangkan ancaman serangan siber yang lebih besar terhadap infrastruktur awam di Amerika Syarikat (AS).
Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan Perkhidmatan Rahsia AS turut dipanggil bagi membantu siasatan, namun setakat ini tiada suspek yang ditahan.
Pihak berkuasa juga tidak pasti sama ada serangan dilancarkan dari dalam atau luar AS serta motif mereka berbuat demikian.