10 FEB: Kerajaan hari ini mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Teluk, Setiawan, Perak mulai esok hingga 24 Februari ini.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pelaksanaan PKPD berkenaan dibuat selepas Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan peningkatan kes COVID-19 di Kampung Teluk, Setiawan, Perak ketika ini.
Malah, Ismail Sabri berkata sehingga semalam, KKM telah melaksanakan 43 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 16 kes positif COVID-19 telah direkodkan.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di Kampung Teluk, Setiawan, Perak bermula 11 sehingga 24 Februari 2021.
“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar yang melibatkan 400 orang penduduk dan untuk mengawal jangkitan dalam komuniti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri mengesahkan bahawa 43 daripada 10,321 pekerja asing telah menjalani ujian saringan, semalam, positif COVID-19 menjadikan jumlah keseluruhan 6,457 orang disahkan positif.
“Secara kumulatifnya, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan seramai 342,537 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan COVID-19 yang melibatkan 15,297 majikan.
“Daripada jumlah ini, sebanyak 6,457 telah disahkan positif COVID-19 manakala 336,080 lagi adalah negatif. Sehingga kini juga, sebanyak 1,322 buah klinik telah terlibat dengan program saringan ini. Seperti yang telah diumumkan, ujian saringan COVID-19 adalah diwajibkan kepada semua pekerja warga asing mulai 1 Februari 2021,” katanya.
Beliau juga mengesahkan bahawa seramai 438 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan semuanya telah dikuarantin di stesen-stesen kuarantin di seluruh negara, semalam.
“Sejak 24 Julai 2020, seramai 119,156 individu telah pulang ke tanah air dan kesemua ditempatkan di 73 hotel dan 12 Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta di seluruh negara.
“Seramai 6,201 individu dikuarantin dan secara kumulatifnya, seramai 112,429 orang dibenarkan pulang manakala 526 lagi dibawa ke hospital,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI