11 FEB: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) secara rasmi menjadi salah sebuah parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) mulai hari ini.
Penyerahan surat penerimaan kemasukan Gerakan sebagai parti anggota PN itu dilakukan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau yang juga Pengerusi PN berkata, kemasukan gerakan telah diluluskan secara sebulat suara oleh Majlis Tertinggi PN.
“Saya amat mengalu-alukan penyertaan Gerakan dalam PN. Saya percaya langkah ini akan memperkukuhkan PN sebagai gabungan parti-parti politik yang mewakili masyarakat pelbagai kaum dan wilayah di Malaysia.
“PN akan terus komited untuk membina negara Malaysia yang aman, maju, makmur dan stabil,” katanya dalam kenyataan melalui laman Facebook beliau, hari ini. – Oleh HUSSAINI AMRAN