11 FEB: Lima syarikat pengendali telekomunikasi di negara ini meneruskan komitmen menyokong keperluan pendidikan rakyat dengan menyediakan internet produktiviti 30GB secara percuma bagi tujuan pembelajaran, produktiviti serta melayari laman web berita sehingga 30 April, 2021.
Syarikat telekomunikasi itu adalah Celcom Axiata Bhd, Digi Telecommunications Sdn Bhd, Maxis Bhd, U Mobile Sdn Bhd dan Telekom Malaysia Bhd (TM) menerusi unifi Mobile.
Mereka juga menyediakan penyambungan WiFi percuma kepada pelajar yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan melanjutkan waktu operasi Pusat Internet Komuniti (PIK) semasa tempoh mencabar ketika ini.
“Sejumlah 130 PPR dan 54 PIK di seluruh negara akan menumpu menyokong pelajar daripada keluarga B40 dengan penyambungan Internet percuma yang bertujuan memudahkan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” kata lima syarikat telekomunikasi itu dalam satu kenyataan bersama.
Sejak April tahun lalu, semua pelanggan pasca bayar dan prabayar aktif pengendali masing-masing menikmati Internet produktiviti 30GB secara percuma sebulan, kecuali bagi media sosial, permainan, video dan penstriman muzik, melebihi peruntukan data bulanan daripada pelan sedia ada mereka.
Selain internet percuma 30GB sebulan, pengendali juga menyediakan pakej data prabayar khas bagi pelajar SPM dan STPM serta pelajar di pusat pengajian tinggi.
Pakej data prabayar khas itu menawarkan data 15GB sebulan bagi bayaran serendah RM20 sebulan dan disediakan kepada pelajar dari 6 Januari 2021 sehingga akhir April 2021.