11 FEB : Armada Bersatu Malaysia menyifatkan penyertaan Gerakan sebagai bukti Perikatan Nasional (PN) bukan sekadar mendahulukan orang Melayu-Bumiputera, namun melihat kepentingan masyarakat berbilang kaum secara keseluruhan sebagai satu keluarga besar Malaysia.
Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad berkata, dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) persis rekonsiliasi politik nasional ketika zaman “Mageran” walaupun latar belakangnya berbeza.
“Penyertaan Gerakan dilihat sebagai bukti kemajmukan masyarakat dalam negara Malaysia bagi membantu memperkukuhkan lagi PN yang didominasi oleh parti berjalur masyarakat majoriti dari kelompok Bumiputera termasuk di Sabah dan Sarawak seperti PPBM, STAR dan SAPP, sebegitu berteraskan Islam seperti PAS.
“Saya mewakili pemuda PPBM mengucapkan selamat datang kepada bekas parti serpihan Barisan Nasional (BN) itu dalam PN,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Beliau turut meluahkan harapan agar kerjasama erat membuka lembaran baharu dalam membina Malaysia dengan silang budaya yang lebih utuh dan harmoni bawah naungan PN dalam mengembalikan Malaysia selaku simbol keharmonian masyarakat yang sebenar.
Hari ini, Presiden Gerakan Dominic Lau mengesahkan parti itu kini menjadi sebahagian daripada gabungan PN selepas diterima masuk oleh Muhyiddin setelah mendapat persetujuan Majlis Tertinggi PN.