11 FEB: Lanskap politik Selangor serta cabaran-cabaran semasa menuntut supaya Perikatan Nasional (PN) menampilkan politik progresif dan berpencerahan dengan fokus memperkukuh perpaduan, prihatin kebajikan, menjana pembangunan dan pertumbuhan ekonomi mampan.
Pengerusi Badan Perhubungan PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, PN Selangor komited menggembleng kekuatan setiap parti anggota untuk mewakili kerencaman masyarakat dan kepelbagaian budaya di negeri itu.
“Kita akan terus memperkukuh dan memberdaya kepimpinan sehingga ke peringkat akar umbi untuk menjamin kestabilan negeri dan kesejahteraan rakyat Selangor secara keseluruhannya.
“Pengalaman bekerja bersama BERSATU dan PAS dalam kerajaan negeri Selangor pasti akan memperkukuh kekuatan dasar dan pelaksanaan gerak kerja demi masa depan negeri Selangor yang lebih gemilang,” katanya dalam kenyatan media, hari ini.
Beliau turut memaklumkan tentang pertemuannya bersama Pengerusi Badan Pimpinan BERSATU Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi pada 5 Februari lalu.
Mohamed Azmin yang juga Ketua Penerangan PN memberitahu, pertemuan itu bertujuan membincangkan pembentukan Badan Perhubungan Negeri (BPN) PN Selangor.
“Perbincangan yang berlangsung dengan penuh semangat musyawarah memberi fokus kepada pembentukan struktur organisasi yang strategik, wibawa dan dinamik untuk menjana kekuatan baru demi memperkukuh keyakinan rakyat,” jelasnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN