12 FEB: Kepelbagaian bangsa, agama dan bahasa yang wujud di Malaysia menjadikan negara ini sangat unik.
Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, hidup dalam sebuah negara yang berbilang bangsa dan agama menjadikan masyarakat Malaysia sentiasa bertimbang-rasa, bertolak ansur serta menghormati antara satu sama lain.
“Sikap rakyatnya yang sebegini menjadikan Malaysia dapat terus menjaga kedamaian dan keharmonian meskipun dalam masa yang sama terdapat segelintir yang cuba meniup api perkauman, namun rakyat Malaysia terus teguh mempertahankan kedamaian ini,’’ katanya dalam kenyataan sempena Tahun Baharu Cina yang disambut hari ini.
Beliau turut menasihatkan rakyat yang menyambut perayaan itu agar mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan oleh kerajaan agar rantaian penularan
“Saya sedar pada masa yang sama kemeriahan perayaan kali ini tentu sekali agak berbeza.
“Tetapi, ini tidak bermakna perayaan kali ini tidak meriah. Dalam norma yang baharu ini, kita masih boleh mewujudkan suasana gembira menyambut perayaan bersama ahli keluarga dan insan yang tersayang,” jelasnya.
Ahmad Faizal turut menyatakan penghargaan kepada petugas barisan hadapan dan rakyat yang sentiasa memberi sokongan padu serta kerjasama kepada kerajaan dalam usaha memerangi pandemik tersebut.