12 FEB: Penyertaan Gerakan dalam gabungan parti Perikatan Nasional (PN) akan mengubah landskap baharu politik negara, demikian menurut Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Menurutnya, penyertaan Gerakan yang mempunyai keahlian berbilang kaum dalam keluarga besar PN menggambarkan keterbukaan dan komitmen berterusan gabungan berkenaan dalam menjaga kebajikan rakyat pelbagai bangsa dan agama.
“BERSATU mengalu-alukan penyertaan Gerakan dalam Perikatan Nasional.
“Semoga penyertaan ini akan meluaskan lagi politik khidmat bakti PN dan memberi impak lebih positif terhadap dasar PN dalam membela rakyat serta memajukan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Gerakan menjadi parti politik terbaharu diterima menyertai gabungan PN.
Berikutan itu Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau, dilaporkan berkata pihaknya menerima surat pengesahan yang ditandatangani Pengerusi PN yang juga Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Hasrat untuk menyertai PN sudah disuarakan sejak tahun lalu dan kami bersyukur, hari ini GERAKAN menjadi sebahagian daripada PN.
“Menjadi harapan kami supaya dapat meneruskan agenda perjuangan kepada rakyat bersama PN. Saya mewakili Gerakan berterima kasih kepada Perdana Menteri berhubung perkara ini,” ujarnya.
Semalam, Gerakan dilapor secara rasmi menjadi parti politik terbaharu diterima menyertai gabungan PN selepas menerima surat pengesahan ditandatangani Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.