12 FEB: Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Datuk Seri Salahuddin Ayub dikatakan sengaja mencari publisiti murahan berikutan pendedahannya tentang sogokan yang ditawarkan kartel daging import.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, pendedahan tersebut seolah-oleh menggambarkan kerajaan terdahulu di bawah Pakatan Harapan (PH) tidak serius menangani skandal berkenaan.
“Tindakan bekas menteri terbabit saya rasa memang hendak mencari publisiti murahan, sepatutnya kalau ada sogokan dia perlu buat laporan Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Buat laporan kepada pihak berkuasa, kalau betul-betul ada berlaku sogokan dan rasuah, kita pun tidak faham tujuan apa dia sebut masa ini selepas tidak jadi menteri,” katanya pada sidang media di Bachok, Kelantan hari ini.
Semalam, Salahuddin yang juga bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dilaporkan bercadang membuat laporan kepada SPRM berhubung pendedahannya pernah ditawarkan percutian mewah ke Eropah oleh kartel daging lembu import haram seperti didedahkannya, sebelum ini.
Beliau sedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM jika diarahkan berbuat demikian kerana kes terbabit membabitkan isu serius.
Salahuddin juga mendakwa didatangi wakil syarikat kartel di pejabat yang menawarkan percutian kelas pertama di Eropah, namun menolak tawaran terbabit.
Difahamkan, tindakan kartel itu dipercayai bagi memastikan syarikat mereka menjadi ‘pilihan’ utama kementerian untuk urusan membawa masuk bekalan daging sejuk beku ke negara ini.