12 FEB: Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) menyambut baik keputusan KWSP dalam proses memansuhkan syarat kemudahan i-Sinar dalam menambah baik inisiatif tersebut kepada rakyat di seluruh negara.
Oleh itu, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) digesa mempercepatkan proses kelulusan automatik kemudahan i-Sinar bagi memudahkan urusan pencarum mengeluarkan wang simpanan mereka.
Presidennya, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, pihaknya yakin KWSP mempunyai sistem yang terurus yang akan membolehkan proses kelulusan dibuat dengan pantas.
Menurut beliau, ini kerana pencarum sudah pun mempunyai akaun KWSP sedia ada dan tidak perlu mengambil masa panjang untuk meluluskan proses pengeluaran wang itu.
“UNI-MLC mengalu-alukan keputusan kerajaan dalam proses memansuhkan syarat kemudahan i-Sinar.
“Ia selari dengan pendirian UNI-MLC yang tidak mahu pencarum KWSP terbeban dengan pelbagai kesukaran ketika mahu mengeluarkan wang simpanan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz semalam berkata, KWSP dalam proses memansuhkan syarat kemudahan i-Sinar selepas mengambil kira maklum balas awam dan juga atas nasihat Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, selain untuk menambah baik inisiatif tersebut.
Dalam pada itu, Mohamed Shafie memberitahu pihaknya mencadangkan agar jumlah pengeluaran RM1,000 setiap bulan dapat dinaikkan kepada sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan sekali pengeluaran kerana setiap pencarum menghadapi cabaran yang berbeza.
“Ada antara mereka terpaksa membayar hutang dengan berhutang dan lain-lain keperluan harian bagi menampung kos sara hidup.
“Tambahan pula ada yang telah hilang pekerjaan, malah ada gaji yang dipotong dan sebagainya,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH