13 FEB: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 759 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam termasuk 715 dikompaun dan 44 individu direman.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata antara kesalahan direkodkan ialah merentas daerah/negeri tanpa kebenaran (203); tiada penjarakan fizikal (167); tidak memakai pelitup muka (117); keluar rumah tanpa alasan munasabah (84); gagal menyediakan peralatan/merekod diri/pelanggan (57).
Ismail Sabri berkata seramai 22 individu lain ditahan kerana membawa penumpang berlebihan; premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (12), lapan ditahan kerana terbabit dengan aktiviti pusat hiburan dan lain-lain (89).
“Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 64,379 pemeriksaan semalam, bagi memantau
dan menguatkuasakan pematuhan SOP PKP.
“Seramai 3,009 anggota pasukan Pematuhan melibatkan 13,910 anggota telah membuat pemantauan di 6,108 buah restoran, pasar raya (4,008), bank
(3,814), penjaja (2,706), kilang (1,649) dan pejabat kerajaan (752). Turut dipantau ialah 1,087 terminal pengangkutan darat, terminal pengangkutan air (266) dan terminal pengangkutan udara (71).
“Dalam operasi berkenaan, seramai 759 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, 715 dikompaun dan 44 individu direman,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Sementara itu, Ismail Sabri mengesahkan pihak berkuasa juga menahan 36 pendatang asing tanpa izin (PATI), merampas empat kenderaan darat dan sebuah bot dalam Op Benteng di seluruh negara, semalam.
Beliau berkata pihak berkuasa juga mengesan 110 buah bot/kapal di perairan negara melalui lapan aktiviti penglihatan dalam operasi sama.
“Secara kumulatifnya, sebanyak 16,162 operasi sanitasi yang merangkumi 146 zon dilakukan sejak 30 Mac 2020. Operasi sanitasi telah melibatkan pusat perniagaan, kawasan perumahan termasuk PPR, tempat awam, pasar raya dan bangunan kerajaan.
“Operasi Sanitasi ini melibatkan 388 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), 197 pihak berkuasa tempatan (PBT) dan lain-lain agensi (30) serta 83 buah jentera bomba,” katanya. – Oleh Haika Khazi