15 FEB: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan hubungan UMNO dan PAS dalam gabungan Muafakat Nasional (MN) dalam keadaan baik-baik sahaja.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menjelaskan perkara itu bagi menjelaskan mengenai status terkini MN yang dipelopori kedua-dua parti sejak 2019.
“Saya tahu ramai tertanya-tanya mengenai status terkini Muafakat Nasional (MN) yang dipelopori UMNO dan PAS pada tahun 2019.
“Ia disebabkan PAS secara rasmi telah menyertai Perikatan Nasional (PN) yang diasaskan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Manakala UMNO sebaliknya. UMNO sekadar menyokong pembentukan kerajaan PN demi kestabilan pentadbiran negara selepas Perdana Menteri ke-7 letak jawatan.
” Pendirian UMNO itu selaras dengan perkembangan terbaru majoriti akar umbi parti pada mesyuarat bahagian menolak kerjasama dengan PPBM pada PRU15. Bagi menjelaskan persoalan tentang kedudukan MN yang dimeterai UMNO dan PAS pada 2019, apa yang boleh saya katakan adalah hubungan kedua-dua parti masih baik walaupun terdapat pelbagai interpretasi di luar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata hubungan kedua-dua parti masih berjalan walaupun mungkin ada pihak tidak berapa senang dan berterusan mencari jalan untuk merenggangkan.
Beliau turut berkongsi cerita mengenai ilham untuk menjalinkan semula kerjasama antara kedua-dua parti telah pun wujud sejak tahun 1998 ketika bertemu pemimpin PAS ketika itu,Datuk Dr. Haron Din.
“Saya berfikir kerjasama ini perlu diteruskan UMNO dan PAS kerana ia terbukti memberi impak positif dan InsyaAllah hubungan fikrah ini akan terus rapat dan dekat.
“Sebab itu juga baru-baru ini saya menyatakan BN akan terus diperkasakan dan dalam masa yang sama mengukuhkan kerjasama dengan pihak yang jujur dan ikhlas untuk bekerjasama,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI
Get real time updates directly on you device, subscribe now.