15 FEB: Semua pihak yang terbabit dalam aktiviti pencemaran air akibat aktiviti peleburan besi secara haram oleh sebuah premis berhampiran Kawasan Perindustrian Hi-Tech, Semenyih, dihadapkan ke muka pengadilan.
Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Norlin Jaafar, berkata tiada pihak akan dilepaskan jika didapati terbabit dalam kegiatan itu, sama ada pemilik tanah, operator premis, syarikat pengangkut dan kilang yang menghasilkan sisa besi berkenaan.
Beliau berkata, alasan pemilik tanah mendakwa tidak maklum dengan kegiatan peleburan besi haram itu kerana hanya menyewakannya kepada operator, tidak akan melindunginya daripada dikenakan tindakan.
“Pemilik tanah tidak terlepas daripada disabitkan kesalahan, begitu juga dengan pihak lain yang terbabit seperti operator, syarikat pengangkut dan kilang yang menghasilkan sisa besi itu sendiri.
“Operator dan pemilik premis sememangnya sudah dikenal pasti. Bagaimanapun, JAS memerlukan sedikit masa untuk membuat carian orang disyaki (sebelum sebarang tangkapan dibuat).
“JAS juga masih perlu menjalankan pengumpulan bahan bukti dan menunggu keputusan analisis kimia ke atas lapan sampel yang dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia,” katanya ketika mengulas mengenai premis yang menjalankan kerja melebur dan mengasingkan sisa besi secara haram di Kawasan Perindustrian Hi-Tech, Semenyih, yang disita pihak berkuasa, Khamis lalu.
Premis milik persendirian itu dikesan menjalankan aktiviti peleburan besi secara haram yang diperoleh daripada kilang besi, dipercayai di Selangor dan Perak, menggunakan pekerja warga asing tidak berdokumen sejak kira-kira tiga tahun lalu.
Aktiviti haram premis dalam hutan dan dikelilingi ladang sawit itu terbongkar apabila Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) mengesan pencemaran longkang monsun di Taman Semenyih Permata, kira-kira 1.5 kilometer dari premis berkenaan.
Siasatan awal mendapati pencemaran itu datang daripada limpahan kolam takungan di premis berkenaan, dipercayai mengandungi sisa aktiviti peleburan besi yang menyebabkan air kolam itu berwarna hitam.