16 FEB: Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) menggesa rakyat di negara ini supaya mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 masing-masing.
Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) Datuk Dr Kuljit Singh berkata, vaksin itu selamat dan kemungkinan komplikasi jangka panjang COVID-19 terhadap aspek kesihatan jauh lebih teruk berbanding kesan sampingan daripada vaksin.
Menurut beliau, demi menjayakan program imunisasi COVID-19 di negara ini, hospital swasta bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam usaha mempercepatkan proses berkenaan kepada orang ramai.
“APHM sedang menunggu untuk berbincang mengenai mekanisme pemberian vaksin memandangkan ramai yang bersedia mendapatkan suntikan di hospital-hospital swasta.
“Ini adalah perkhidmatan yang kami boleh sediakan kepada awam, bagaimanapun kami masih menunggu arahan selanjutnya. Kami akan bekerjasama rapat dengan kerajaan.
“Ini bagi memastikan semua barisan hadapan mendapatkan vaksinasi daripada sektor perkhidmatan kesihatan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Kuljit memberitahu pihaknya berterima kasih kepada kerajaan atas penghargaan kepada petugas kesihatan di hospital-hospital swasta yang akan menerima suntikan vaksin serentak dengan petugas kesihatan di hospital kerajaan. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH