17 FEB : Ketua Dewan Ulama PAS, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh menasihati umat Islam agar tidak ragu-ragu menerima vaksin COVID-19 yang bakal diagih kepada rakyat bermula akhir bulan kerana jaminan telah diberikan bahawa bahan itu tidak mempunyai unsur-unsur bercanggah dengan Islam.
Menurut beliau, menerima vaksin tersebut juga berdasarkan beberapa prinsip asas ajaran Islam iaitu menjaga keharmonian Islam, kesihatan, harta benda, nyawa dan sektor ekonomi merupakan satu keperluan bagi umat Islam.
“Ancaman COVID-19 menghalang umat Islam daripada menunaikan solat berjemaah dan solat Jumaat di masjid dan memutuskan silaturahim apabila tidak boleh berhubung dan menziarahi sanak saudara serta sahabat handai yang mengalami musibah.
“Wabak ini sedang mengancam negara dan boleh meruntuhkan prinsip-prinsip asas berkenaan sekiranya tidak dibendung dengan segera,” katanya kepada pemberita selepas Program Info On Wheels Kempen Pematuhan SOP COVID-19, di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah Penerangan Kelantan Azahar Ismail berkata pihaknya akan menaikkan kira-kira 400 kain rentang mengenai proklamasi darurat di tepi-tepi jalan dan di tempat awam di seluruh negeri dalam masa terdekat.
Darurat yang dilaksanakan ini adalah demi keselamatan rakyat yang terjejas oleh ancaman COVID-19, katanya.