17 FEB: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Puad Zakarshi tidak seharusnya memanipulasikan fakta dalam isu saman Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadapnya ekoran kenyataan beliau yang berbaur fitnah kepada Perdana Menteri baru-baru ini.
Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bandar Tun Razak, Mohd Shahni Ismail berkata, kenyataan itu bukan sahaja tidak benar malah membangkitkan kebimbangan orang ramai di negara ini.
“Tindakan Perdana Menteri yang bertindak tegas mengemukakan tuntutan maaf secara terbuka dan membayar ganti rugi sebanyak RM10 juta itu bagus kerana didakwa memfitnahnya.
“Saya mohon supaya Puad jangan lari, jangan cuba manipulasi atau ‘macam-macam’. Hadapi kenyataan tuntutan ini, lain kali sebelum buat tolong fikir terlebih dahulu, “katanya, hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri menuntut Mohd Puad memohon maaf secara terbuka dan membayar ganti rugi RM10 juta kerana didakwa memfitnah perdana menteri menerusi hantaran di Facebook minggu lalu.
Firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership dalam suratnya kepada Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu semalam, Muhyiddin, antara lain, menuntut Puad memadam kenyataan bertarikh 9 Feb mengenai kuarantin dari laman Facebooknya.
Tuntutan itu dibuat terhadap kenyataan Puad bahawa Muhyiddin enggan dikuarantinkan sekembalinya dari lawatan rasmi dari Jakarta pada 5 Feb lalu sehingga kerajaan terpaksa mewartakan perintah kuarantin tiga hari terhadap menteri.
Firma guaman itu juga diarah untuk menuntut Puad menyatakan permohonan maaf secara terbuka disiarkan secara jelas dan segera di Laman Facebooknya dan semua portal berita dan media sosial yang menyiarkan kenyataan yang didakwa berunsur fitnah itu.
Selain itu, Puad juga dituntut mengeluarkan aku janji bertulis untuk tidak mengulangi atau menerbitkan kenyataan sama atau seumpama itu dalam apa jua cara sekalipun.
Sementara itu, Mohd Shahni memberitahu Muhyiddin ternyata tidak berkompromi dengan perbuatan Puad yang sesuka hati mengeluarkan kenyataan tanpa berfikir apa kesannya.
“Apa yang dilakukan oleh anda sebagai pemimpin politik yang begitu berpengalaman dan sudah bergelumang dalam politik pastinya langsung tidak boleh diterima.
“Ingatlah sikit, rakyat dalam keadaan tertekan dan penuh kebimbangan, bila keluar kenyataan sesuka hati begini, adakah anda fikir apakah tekanan perlu dilalui oleh mereka pula? Malah tindakan kamu cuba memfitnah seorang Perdana Menteri, apakah ini bagus? Cukup-cukuplah,” katanya.