18 FEB : Kampung Hilir, Sri Aman diisytiharkan sebagai kawasan terbaharu wabak Rabies atau anjing gila oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) Sarawak hari ini.
Timbalan Ketua Menteri yang juga Pengerusi JPBN Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, memandangkan kawasan itu berada di luar 10 kilometer kawasan radius yang diisytiharkan wabak Rabies sebelum ini, maka ia menjadi kawasan wabak ke-67.
“Setakat ini, kawasan yang telah disytiharkan sebagai kawasan wabak rabies adalah Kuching (tujuh), Sibu (dua), Miri (enam), Sarikei (lima), Kapit (satu), Bintulu (empat), Samarahan (empat), Betong (tiga), Serian (22), Mukah (enam), Limbang (satu) dan Sri Aman (6),” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Uggah berkata, susulan itu pemilik anjing perlu memastikan haiwan peliharaan mereka itu disuntik dengan vaksin anti rabies, setiap tahun.
Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan mereka disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 40, Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999.