18 FEB: Kementerian Sumber Manusia (KSM) memberi amaran kepada majikan yang tidak memberi vaksin COVID-19 kepada pekerja warga asing yang tinggal di tempat penginapan yang disediakan, boleh didenda maksimum RM200,000 serta dipenjara sehingga tiga tahun.
Menterinya, Datuk Seri M Saravanan berkata setiap majikan di negara ini perlu memastikan perkara ini dilaksanakan seperti yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
“Sekiranya majikan gagal berbuat demikian, mereka boleh didakwa melanggar Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) 2019 (Akta 446) serta boleh dipenjara tiga tahun dan denda maksimum RM200,000.
“Kementerian Sumber Manusia (KSM) sarankan semua majikan untuk bawa semua pekerja asing yang digajikan mereka bagi mendapatkan vaksin di hospital-hospital kerajaan apabila (Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan) dilaksanakan kelak,” katanya menerusi sidang media secara maya, hari ini.
Dalam pada itu, Saravanan turut memaklumkan tindakan ini perlu dilakukan bagi menangani kes COVID-19 yang dilihat kebanyakan kluster-kluster baharu bermula daripada pekerja asing.
“Mana-mana majikan yang gagal memastikan pekerja asing atau pekerja yang tinggal di penginapan yang disediakan oleh majikan menerima vaksin, melakukan kesalahan di bawah Akta 446,” katanya.