Kaukus Kesejahteraan Rakyat doakan maju jaya pada calon peperiksaan
Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara mendoakan selamat maju jaya kepada lebih 400,000 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2020 yang akan menduduki peperiksaan itu berada dalam suasana kesejahteraan yang selamat, kondusif dan terjamin mengikut prosedur operasi standard (SOP) bermula 22 Februari 2021 di seluruh negara.
Justeru, calon SPM/SVM/STAM serta ibu bapa, penjaga dan ahli keluarga masing-masing tidak usahbimbang dan yakinlah bahawa Kerajaan menerusi kementerian dan agensi berwajib telah melaksanakan tanggungjawab yang sangat baik demi kesejahteraan semua pihak.
Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara telah mengambil maklum bahawa SOP peperiksaan SPM/SVM/STAM yang diperkenalkan dalam suasana norma baharu akan memastikan setiap calon tidak akan tercicir menduduki peperiksaan awam itu.
Kesejahteraan kesihatan awam pelajar serta pengawas peperiksaan pasti dipantau secara rapi dari semasa ke semasa termasuk pihak berwajib sentiasa bersiap siaga menangani pendemik itu andainya berlaku penularan mendadak kes COVID-19.
Semua pihak perlu memberi motivasi dan doa yang berterusan kepada setiap calon peperiksaan dalam keadaan yang sangat mencabar sekarang. Moga peperiksaan SPM/SVM/STAM dapat berjalan lancar seperti mana yang dirancangkan demi memastikan kesejahteraan anak-anak kita terus terjamin untuk masa depan.
SENATOR DATUK RAZALI IDRIS
Pengerusi
Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara