19 FEB: Tun Dr. Mahathir Mohamad kini sudah hilang arah tuju dalam memperjuangkan kepentingan politik peribadi dan kroni-kroninya selepas tidak lagi menjadi Perdana Menteri ke-7.
Berikutan itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bekas bosnya merangkap Perdana Menteri ke-7 dan ke-4 berkenaan kini sedang mencari ‘perumah’ baharu atau parti baru bagi membolehkan membolehkannya meneruskan legasi politiknya.
Malah, Ahmad Zahid berkata, rakyat juga tidak pernah melupakan bahawa Dr. Mahathir yang juga bekas Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkenaan pernah mencadangkan supaya UMNO dibubarkan dan ‘ditalkinkan’ kerana sudah tiada.
“BN (Barisan Nasional) dah tak ada, dah ‘Innalillahi wainna ilaihi raajiun. Yang ada hanyalah UMNO itupun sekadar pada nama sahaja.
“UMNO dah hancur, banyak ahli minta nak masuk PH dan BERSATU (PPBM). Yang tinggal nak jalan pun tak larat dah (Tun Mahathir 21 Februari 2020”
“Saya sanggup terima ahli UMNO yang keluar UMNO. Tetapi UMNO sertai kerajaan campuran sebagai parti UMNO, ini tidak dapat diterima (Tun Mahathir 26 Februari 2020)
“Siapa masih ingat juga Tun Mahathir pada 9 November 2019 mengaku menyuruh saya membubarkan UMNO kerana UMNO dianggap sudah tiada,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Berikutan itu, Ahmad Zahid melahirkan rasa pelik apabila Dr. Mahathir membuat pusingan-U meluahkan isi hatinya ingin kembali ke pangkuan UMNO kerana masih sayangkan parti sehingga hari ini.
“Tiba-tiba kelmarin Tun Mahathir buat ‘U-turn’ paling drastik menyatakan beliau masih sayang UMNO dan bersedia kembali kepada UMNO. Tetapi kononnya dengan syarat UMNO perlu kembali berjuang untuk bangsa, negara dan agama.
“Bagaimana agaknya perasaan penyokong dan pemimpin parti Pejuang lain mendengar kata-kata Tun Mahathir ini? Semoga tiada gua berhampiran mereka,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, beliau berfikiran rakyat khususnya ahli UMNO boleh menjangkakan punca sebenar mantan Pengerusi PH itu membuat pusingan-U setajam itu.
Beliau berkata, ramai lihat Dr. Maharhir kini hilang hala tuju dalam memperjuangkan kepentingan politik peribadi dan kroni-kroninya selepas tidak lagi menjadi Perdana Menteri ke-7.
“PH tidak lagi mempedulikannya. Kerajaan PN tidak luluskan pendaftaran parti baharunya. Makanya perlu cari ‘perumah’ lain atau setidak-tidaknya kembali kepada ‘perumah lama’ untuk terus mendapatkan manfaat ‘nutrisi’.
“Rakyat juga tahu syarat yang ditetapkan beliau itu sekadar alasan. UMNO tidak pernah seinci berkalih daripada dasar perjuangannya.
“Ia cuma argumentasi atau dalih untuk menjustifikasikan kehendak kembali kepada parti keramat ini. Atau juga ia strategi sama beliau pada PRU14 untuk memainkan sentimen rasa hormat ahli UMNO bagi menumbangkan kerajaan BN,” katanya.
Tambahnya, sejarah tahun 2018 membuktikan siapa yang sebenarnya tidak lagi berpegang kepada dasar bangsa, negara dan agama demi kepentingan politik kendiri.
“Persoalan seterusnya yang menimbulkan tanda tanya besar siapakah rombongan demi rombongan yang datang minta beliau buat sesuatu kerana tidak berpuas hati dengan kepimpinan UMNO ketika itu?,” katanya.