20 FEB: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikenakan terhadap 10 taman perumahan di sekitar Jalan Telok Ira, Temerloh, Pahang bermula esok hingga 6 Mac depan.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPD itu susulan jangkitan kes mendadak di kawasan terbabit.
“Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan terdapat peningkatan kes positif secara mendadak di mana sehingga kini sebanyak 72 kes dilapor melibatkan penduduk yang tinggal di taman-taman perumahan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
10 taman terlibat ialah Taman Desa Bangau, Taman Seberang Damai, Taman Kenari, Taman Seberang Temerloh 5, Taman Jaya 7, Taman Jaya 2, Taman Jaya 3, Taman Jaya 4, Taman Kelisa dan Desa Bangau.
Menurutnya, pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penduduk yang terlibat dan untuk mengawal jangkitan dalam komuniti.
Sementara itu, Ismail memberitahu, PKPD Bandar Raub Perdana di Raub, Pahang tamat hari ini, lima hari lebih awal daripada tarikh dijadualkan tamat.
“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 287 ujian saringan dan daripada jumlah itu, secara kumulatif sebanyak tiga kes positif telah direkodkan.
“Walau bagaimanapun, KKM mengesahkan situasi penularan jangkitan di lokaliti ini terkawal dan kesemua kontak rapat, kumpulan sasaran dalam kalangan penduduk telah dikenal pasti, disampel serta diasingkan,” katanya,
Tambahnya, setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di Bandar Raub Perdana hari ini, lebih awal dari tarikh asal iaitu 25 Februari depan.