20 FEB: Sebanyak 2,461 kes baharu Covid-19 dengan lapan kematian direkodkan dalam negara sehingga tengah hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes 280,272.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes sembuh pula adalah sebanyak 4,782 kes menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh adalah 244,753 manakala manakala kes aktif adalah 34,468
Seramai 207 pesakit sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 91 orang memerlukan bantuan pernafasan.
“Semua 2,461 kes baharu hari ini membabitkan penularan tempatan dan tiada kes import.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 1,589 kes membabitkan warganegara atau 64.6 peratus manakala 872 kes lagi bukan warga negara atau 35.4 peratus,” katanya dalam satu kenyataan mengenai perkembangan terkini Covid-19, hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, sebanyak lapan kes kematian direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kematian, 1,051 kes atau 0.37 peratus.
Dalam pada itu, berdasarkan statistik kes setiap negeri, Kelantan didapati mencatatkan kenaikan mendadak kes baru dengan 257 jangkitan, berbanding semalam dengan 38 kes harian.
Selangor pula kekal menjadi negeri tertinggi mencatatkan kes baharu dengan 1,001 kes.