20 FEB: Pekerja penyelenggaraan yang sedang melakukan kerja pembersihan longkang terkejut apabila menemui satu tengkorak manusia di Kilometer 122.4 Lebuhraya Utara Selatan arah Yong Peng-Pagoh, Batu Pahat, Johor semalam.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, tengkorak berkenaan dipercayai milik pemandu kereta yang terbabit dalam kemalangan jalan raya kira-kira 10 bulan lepas, iaitu sekitar Mei atau Jun 2020.
Menurutnya, polis menerima maklumat mengenai penemuan itu pada pukul 1.10 tengah hari ketika pekerja berkenaan sedang melakukan kerja pembersihan longkang di cerunan tepi sebelah kiri lebuh raya.
“Tengkorak dijumpai berhampiran dengan sebuah kereta yang terlindung di sebalik semak bercerun, kira-kira 67 meter dari lebuh raya.
“Dipercayai pemandunya hilang kawalan dan terbabas lalu terjatuh di bawah cerun lebuh raya ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ismail menjelaskan, pihaknya sedang berusaha mengenal pasti identiti mangsa melalui pemilik kenderaan yang telah dikesan.
“Pemilik kereta terbabit telah dikenal pasti dan polis kini sedang menunggu waris untuk menjalankan siasatan lanjut.
“Dalam masa sama, siasatan turut dilakukan terhadap laporan orang hilang yang dilakukan pada Jun tahun lepas kerana berkemungkinan ada kaitan dengan kejadian kemalangan ini,” katanya.
Menurutnya, tengkorak itu kemudiannya telah dibawa ke Jabatan Patalogi, Hospital Sultan Ismail di Johor Bahru untuk tindakan lanjut.