21 FEB: Seorang ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang telah menghadiri mesyuarat parti itu di Institut Latihan Memperkasakan Ilmu (ILMU) Janda Baik, Pahang, kelmarin disahkan positif COVID-19.
Difahamkan,ahli MKT itu difahamkan merupakan pemimpin kanan UMNO Bahagian di Selangor.
Ekoran kejadian itu, beberapa pemimpin tertinggi UMNO yang turut menghadiri Mesyuarat MKT UMNO berkenaan dikatakan segera melakukan ujian saringan.
Pegawai khas kepada seorang menteri Kabinet bergelar Datuk Seri berkata, bosnya segera membuat ujian saringan keesokan harinya selepas mendapat berita seorang ahli MKT positif Covid-19.
“Benar, Datuk Seri hadir pada mesyuarat itu. Esoknya beliau terus membuat ujian calitan (COVID-19),” katanya.
Namun, pegawai itu enggan mendedahkan identiti sebenar ahli MKT yang dikatakan positif Covid-19.
Ini sekaligus memberi risiko yang besar kepada semua yang hadir pada mesyuarat tersebut.
Terdahulu, antara pemimpin yang menghadiri mesyuarat MKT berkenaan ialah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan.