21 FEB: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya mematahkan cubaan 11 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk menyeludup keluar hampir satu tan daun ketum menggunakan motosikal melalui satu laluan di Kubang Pasu, Kelantan.
Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) menerusi satu kenyataan memaklumkan, kesemua individu yang berusia di antara 20 hingga 45 tahun ditahan di sektor Op Benteng Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia kira-kira jam 4.30 pagi, semalam.
Dalam kenyataan tersebut, kesemua mereka ditahan ketika cuba menyeludup keluar 21 guni daun ketum seberat 923 kilogram (kg) ke Thailand.
“Pada jam 4.30 pagi, anggota bertugas yang sedang melakukan rondaan telah mengesan bunyi enjin motosikal dan ternampak sekumpulan orang bermotosikal bergerak menuju ke laluan yang disyaki sebagai laluan penyeludupan.
“Hasil penelitian mendapati kumpulan bermotosikal tersebut membawa guni yang dipercayai berisi daun ketum untuk diseludup ke Thailand,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah kenyataan itu, nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM70,588 melibatkan daun ketum, kenderaan motosikal, wang tunai serta telefon bimbit dan
“Kesemua mereka ditahan dan dibawa ke Balai Polis Kubang Pasu untuk tindakan selanjutnya,” katanya.