Gerakan mahu bertanding di Pulau Pinang guna logo PN
21 FEB: Gerakan menyatakan hasratnya untuk bertanding di sesetengah kerusi di negeri Pulau Pinang dengan menggunakan logo Perikatan Nasional (PN).
Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong berkata, pihaknya akan mengadakan rundingan dengan Pengerusi Bersatu Pulau Pinang, Datuk Shabudin Yahaya mengenai isu pengagihan kerusi.
“Kita masih mahu menjadikan Pulau Pinang sebagai “negeri barisan hadapan” walaupun selepas menyertai PN.
“Strategi Gerakan ini tidak berubah, tetapi kami belum berunding bersama rakan sekutu lain untuk bekerjasama dengan mereka dalam melaksana strategi ini,” katanya kepada Kwong Wah Yit Poh, hari ini.
Mengulas lanjut, Tong Keong yang juga merupakan Timbalan Presiden Gerakan bagaimanapun mengakui sesetengah kerusi di Pulau Pinang sedang diintai banyak pihak, sama ada dari PN ataupun Barisan Nasional (BN).
“Masih terlalu awal untuk bercakap bagaimana kerusi-kerusi ini diagihkan,” katanya.
“Sebagai parti dengan identiti majmuk di Semenanjung, Gerakan harus diberi peranan untuk mendapat sokongan pengundi bukan Melayu
“Dan mengisi jawatan politik tertentu dalam keadaan kekurangan pemimpin Persekutuan bukan Melayu di negeri tertentu, termasuk di Pulau Pinang,”katanya.