21 FEB: Laporan media yang mendakwa parti UMNO tidak akan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan gabungan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) adalah tidak benar.
Jabatan Komunikasi Strategik (JKS) Penerangan UMNO menerusi kenyataan menafikan perkara tersebut dan menegaskan sebarang kenyataan berhubung keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO adalah tidak sahih, melainkan ia datang daripada kenyataan rasmi parti atau kepemimpinannya.
“Ibu pejabat (UMNO) memandang serius berita yang tular berkaitan keputusan mesyuarat MKT, kelmarin.
“Sebarang laporan, spekulasi dan kenyataan media lain tidak boleh dirujuk sebagai pendirian atau kenyataan rasmi daripada parti,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Terdahulu, terdapat laporan media sebelum ini mendakwa pemimpin UMNO memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan BERSATU dan PN pada PRU-15.
Laporan yang memetik sumber dalaman parti itu dikatakan hasil pertemuan kepemimpinan UMNO di Janda Baik, Pahang, kelmarin. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH