Vaksin Pfizer-BioNtech Berkualiti dan Selamat digunakan
21 FEB: Vaksin Pfizer-BioNtech adalah terjamin dari segi profil keselamatan, kualiti serta nilai efaksi yang selamat digunakan rakyat Malaysia setelah mendapat kelulusan daripada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) pada 8 Januari lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pendaftaran bersyarat ini diberikan bertujuan memberikan akses segera kepada vaksin COVID-19 semasa tempoh pandemik ini menggunakan ‘risk-based approach’, tanpa mengabaikan aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan.
“Kriteria-kriteria yang lain bagi membolehkan kelulusan bersyarat ini antaranya adalah vaksin telah berdaftar dan diberi ‘emergency use authorization’ oleh badan regulatori negara pengeluar atau badan regulatori rujukan oleh PBKD atau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
“Vaksin ini juga mestilah melalui proses penilaian yang sewajarnya dan akan sentiasa dipantau dengan rapat setelah ia digunakan,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya, hari ini.
Terdahulu, pesawat Malaysia Airlines MH604 yang membawa kumpulan pertama bekalan vaksin COVID-19 Malaysia selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 10 pagi tadi.
Selain Noor Hisham, ketibaan pesawat yang membawa 312,390 dos vaksin dengan penerbangan Passenger-to-Cargo (P2C) itu disambut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
Dalam pada itu, Noor Hisham memberitahu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa komited dalam memastikan keselamatan dan sentiasa mengutamakan kesihatan rakyat Malaysia.
“KKM akan sentiasa memantau dan meneliti semua ubat-ubatan termasuk vaksin yang diperolehi,” katanya.