22 Feb: Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO) menyenaraikan Bahasa Cina sebagai salah satu daripada bahasa rasmi mereka mulai 25 Januari lalu, menurut pengumuman bersama UNWTO dan kerajaan Sepanyol.
Setiausaha Agung pertubuhan itu, Zurab Pololikashvili turut merakamkan perutusan tahniah dalam satu video khas.
China mengajukan cadangan supaya bahasanya dimasukkan dalam senarai bahasa rasmi UNWTO, semasa sesi ke-17 Perhimpunan Agung UNWTO pada November 2007
UNWTO menerima cadangan itu, kemudian meluluskan pindaan terhadap fasal ke-38 perlembagaannya yang menetapkan bahasa Cina sebagai satu daripada bahasa rasmi selain bahasa Arab, Inggeris, Perancis, Rusia dan Sepanyol.
Menurut perlembagaan UNWTO, selepas diluluskan perhimpunan agung, draf pindaan perlu diratifikasi lebih dua pertiga negara anggota sebelum dikuatkuasakan.
Pindaan itu berkuat kuasa secara rasmi pada Januari 2021 selepas mendapat ratifikasi daripada 106 negara anggota.
Penyenaraian bahasa Cina sebagai bahasa rasmi UNWTO bermanfaat bagi meningkatkan integriti dan kewibawaan UNWTO sebagai agensi khusus Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Ia juga akan membantu China memainkan peranan lebih positif dalam hal ehwal pelancongan antarabangsa, sekali gus membolehkannya berkongsi lebih banyak pengalaman dan peluang pembangunan industri pelancongan dengan negara lain.