23 FEB: Kerajaan negeri Melaka akan akur kepada keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang menolak permohonan Melaka meminta pergerakan rentas daerah dibenarkan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan dan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Ketua Menteri Melaya, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, kebenaran rentas daerah dilihat merancakkan kunjungan pelancong domestik, lantas dapat membantu meningkatkan semula sektor pelancongan negeri yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
“Prosedur operasi standard (SOP) kata tak dibenarkan, MKN tak membenarkan, saya dah mohon. Dia tak benarkan, tunggulah sampai ia dibenarkan.
“Saya kalau boleh dibenarkan, saya nak pelancong-pelancong domestik ini kita boleh membantu meningkatkan semula sektor pelancongan di Melaka. Tetapi saya dah mohon, belum lagi dibenarkan, kita tunggu sajalah,” katanya kepada pemberita selepas meninjau tapak projek tanaman cili Yayasan Melaka di Bandar Hijau, Ayer Keroh di Melaka, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan, MKN perlu memberi kelonggaran kepada penduduk Melaka merentas daerah bagi memulihkan sektor pelancongan memandangkan ia adalah nadi utama ekonomi negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis dipetik sebagai berkata, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan dan Pergerakan (PKP), sektor itu terus mengalami pengucupan ekoran terpaksa bergantung kepada sumbangan kecil penduduk di setiap daerah.
Beliau berkata, pihaknya berharap MKN dapat mempertimbang perkara tersebut, apatah lagi sektor pelancongan adalah penyumbang besar iaitu kira-kira 48 peratus pendapatan negeri.
Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai tahap bekalan air negeri berikutan cuaca panas tanpa hujan yang sedang melanda, Sulaiman memaklumkan, ketiga-tiga empangan iaitu di Durian Tunggal, Jus dan Asahan masih mampu bertahan sehingga September.
Mengulas lanjut, Sulaiman berkata setakat ini tiada sebarang rancangan untuk melaksanakan catuan kerana paras air di setiap empangan masih melebihi tahap 70 peratus.
“Empangan air kita masih dalam keadaan paras yang mencukupi cuma saya minta semua rakyat Melaka berdoa, di samping kita berusaha mengepam air masuk untuk memenuhi segala empangan-empangan.
“Saya minta kepada semua pengusaha, petani dan kilang-kilang yang berhampiran dengan sungai, jangan melepaskan sisa bertoksik yang boleh mencemarkan sumber air,” katanya.