23 FEB: Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor mengesahkan beliau dan Ahli Majlis Mesyuarat Negeri (EXCO) bakal menjadi antara orang terawal menerima vaksin dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di Kedah yang akan bermula Ahad ini
Muhammad Sanusi berkata, turut menerima suntikan pada hari berkenaan ialah petugas barisan hadapan terdiri daripada petugas kesihatan, anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), polis dan banyak lagi.
“Program kita akan mula 28 Februari (Ahad ini). Saya orang pertama disuntik, kemudian EXCO diikuti anggota barisan hadapan, RELA, petugas jabatan kesihatan, APM (dan lain-lain.
“Jumlahnya saya tidak ingat, tetapi esok akan ada mesyuarat untuk menyusun perjalanan program,” katanya kepada pemberita ketika mengadakan kunjungan ke Media Prima Berhad (MPB) di Sri Pentas, Selangor hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Kumpulan MPB, Datuk Dr Syed Hussian Syed Junid; Pengarah Eksekutif Kumpulan MPB, Rafiq Razali dan pengurusan kanan MPB.
Selain menjadi tetamu pada program Malaysia Hari Ini (MHI), Muhammad Sanusi juga dibawa melawat ke konti radio serta studio A dan bilik berita TV3 bagi melihat operasi penyiaran harian di MPB.
Beliau berkata, setakat ini, kes penularan COVID-19 di Kedah terkawal dengan kes harian dicatatkan terutama membabitkan rakyat tempatan adalah rendah.
“Kedah kelmarin ada 15 kes sahaja. Kes mula meningkat (di Kedah) ini apabila kita mula buat saringan di kilang dan tapak binaan.
“Saya ucap terima kasih pada orang Kedah yang patuh kepada SOP (prosedur operasi standard) yang menunjukkan penularan dalam kalangan warga tempatan sangat minimum,” katanya.