23 FEB : Majlis Kerja Tertinggi UMNO memutuskan untuk mengadakan Perhimpunan Agung UMNO 2020 pada 27 dan 28 Mac ini yang akan dilaksanakan secara bersemuka dan maya.
Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung, Datuk Seri Ahmad Maslan yang menyatakan MKT turut memutuskan pelaksanaan perhimpunan itu adalah kombinasi pertemuan bersemuka dan secara maya dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Segala SOP berdasarkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan akan dipatuhi,” katanya menerusi kenyataan di Facebook miliknya, hari ini.
Mengikut perancangan asal, Perhimpunan Agung UMNO 2020 sepatutnya diadakan pada 31 Januari lalu tetapi ditangguhkan kerana pengisytiharan darurat dan pelaksanaan PKP.
Dalam pada itu, Ahmad turut mengumumkan pelbagai aktiviti akan dilaksanakan sempena sambutan ulang tahun ke-75 UMNO.
“Antara aktiviti adalah sayembara (pertandingan) penulisan, puisi, video pendek dan mencipta logo.
“Maklumat lanjut mengenai tiga sayembara boleh dilayari menerusi www.umno-online. com.my,” katanya – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH