23 FEB: Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran heroin tulen terbesar selepas menahan lima lelaki dan seorang wanita dipercayai menjadi dalang utamanya dalam beberapa serbuan berasingan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, Jumaat lalu.
Dalam operasi bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama-sama JSJN Kuala Lumpur itu turut merampas heroin tulen seberat 87.86 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM7.8 juta, selain sepucuk pistol jenis Glock 26 dan 30 bersama 25 butir peluru.
Timbalan Pengarah JSJN, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, turut ditahan dalam serbuan itu sepasang suami isteri dan wanita itu dipercayai merupakan ketua sindiket terbabit.
Kamarul Zaman berkata, wanita warga tempatan berusia 38 tahun itu juga boleh bertutur dalam bahasa Thai, sekali gus dikatakan menjadi kelebihannya dalam mengetuai sindiket terbabit.
“Sindiket yang beroperasi sejak 6 bulan lalu itu dipercayai diedarkan untuk pasaran tempatan dan bekalan ini diperoleh dari Myanmar melalui Thailand.
“Kesemua mereka yang ditahan berusia 22 sehingga 46 tahun itu akan tamat reman esok, jadi kita akan memohon untuk melanjutkan reman,” katanya pada sidang akhbar di sini Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Kamarul Zaman berkata, hasil serbuan itu, pihaknya merampas 240 slab atau ketulan heroin tulen dengan anggaran berat 87.86 kilogram (kg) bernilai RM7.8 juta.
“Jumlah dadah itu apabila diproses dan dipasarkan boleh digunakan oleh seramai 3,265,865 penagih dadah,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.