24 FEB: Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Dr. Abdul Aziz Bari hari ini, memberi keterangan selama lebih satu jam kepada polis berhubung kenyataannya mengenai Yang di-Pertuan Agong dan darurat dalam satu siaran langsung disiarkannya di laman Facebook baru-baru ini.
Abdul Aziz yang juga Timbalan Pengerusi DAP Perak berbuat demikian selepas dipanggil memberi keterangan di Balai Polis Lahat, Ipoh, Perak, hari ini dari jam 11.45 pagi dan selesai kira-kira jam 1 tengah hari.
“Siasatan sudah pun selesai dan keputusan terpulang kepada pihak polis. Apa yang boleh saya katakan adalah ia berkaitan isu Yang di-Pertuan Agong dan siasatan dan darurat yang pernah saya bincangkan sebelum ini melalui FB Live.
“Saya rasa ada pihak yang tidak selesa dengan apa yang saya cakap sebelum ini dan cuba dijadikan bahan laporan yang diambil di luar konteks dan saya dianggap sebagai mahu melagakan institusi Yang di-Pertuan Agong,” katanya kepada pemberita di perkarangan Balai Polis Lahat selepas memberi keterangan hari ini.
Abdul Aziz yang juga ADUN Tebing Tinggi itu berkata, pihaknya menyerahkan perkara itu kepada polis untuk tindakan lanjut termasuk jika mahu menyerahkannya kepada Jabatan Peguam Negara untuk pendakwaan.
“Saya akur dan sedia beri kerjasama. Setakat ini hanya saya yang dipanggil berkaitan isu ini, yang lain saya tidak tahu tetapi yang pasti siasatan dibuat mengikut Kanun Tatacara Jenayah,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan, Aziz mungkin berdepan tindakan polis berhubung kenyataannya berkaitan darurat dan Yang di-Pertuan Agong yang dibuatnya dalam acara disiarkan secara langsung di Facebook berikutan ada laporan polis dibuat terhadapnya.