24 FEB: Kepimpinan dan akar umbi UMNO diingatkan agar tidak mudah terjebak dan terperangkap dengan mainan pihak-pihak tertentu yang terus menerus cuba untuk melemahkan parti itu.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, terdapat pihak-pihak tertentu yang dilihat bersikap iri hati yang tidak mahu melihat kebangkitan UMNO dengan permuafakatan di dalam parti sebagai persediaan untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Menurut beliau, walaupun dilemparkan pelbagai tohmahan kepada parti, namun UMNO tetap meneruskan khidmat baktinya kepada rakyat tanpa mengira penat dan lelah malah keadaan itu berterusan.
“Justeru atas dasar itulah kita sebagai ahli parti mahu pun pimpinan pelbagai peringkat perlu menolak sebarang unsur provokasi daripada mana-mana pihak sekalipun yang kita percaya hanya sekadar mempunyai nawaitu untuk melihat parti terus berpecah.
“Selepas satu isu ditimbulkan satu isu lain… selepas soal itu dilontarkan, ada pula soal lain yang seolah-olah UMNO tidak boleh bergerak. Malah kita mengadakan mesyuarat MKT parti pun ada pihak lain yang resah gelisah,” katanya, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Sharkar yang juga merupakan Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komuniti Negeri Pahang menegaskan UMNO mempunyai garis masa malah mempunyai struktur yang tersendiri bagi menguruskan sebarang keputusan apatah lagi melibatkan soal dasar.
Beliau penuh yakin dan percaya soal-soal dasar dan sebagainya akan terus menjadi mainan atau buah mulut pelbagai pihak terutama kalangan mereka yang ingin melihat UMNO terus merangkak sehingga pilihan raya umum kelak.
“Namun dalam kita bercakap soal politik perkara utama serta penekanan terhadap rakyat tetap menjadi keutamaan dan inilah sebenarnya rahsia yang menyebabkan parti kembali mendapat kepercayaan rakyat.
“InsyaAllah sama-sama kita pertahankan parti, sama-sama kita pertahankan maruah perjuangan UMNO kerana cabaran yang mendatang ini sesuatu yang sukar.
“Jika muafakat kita kukuh datanglah badai setinggi mana sekali pun UMNO tetap mampu berjalan malah mampu berlari. Yang penting kita tidak mudah masuk perangkap yang dipasang,” katanya.