25 FEB: Malaysia lebih mengharapkan negara yang terlibat dalam krisis yang berlaku antara negara ‘sahabat’ di Timur Tengah berusaha mencari penyelesaian dan menjaga perpaduannya.
Justeru, Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Malaysia mengambil pendirian untuk tidak berpihak kepada mana-mana negara terbabit dalam krisis yang berlaku antara negara ‘sahabat’ di Timur Tengah.
Menurutnya, penyelesaian Islam hendaklah dijadikan pilihan setelah gagalnya ideologi ciptaan manusia diimport khususnya dari Timur Tengah yang dahulunya berpecah-belah mengikut ideologi blok perang dingin.
“Bagi umat Islam, kembali kepada Islam adalah satu kewajipan. Adalah berdosa membiarkan semua musuh pelbagai agama, bersatu menentang Islam tanpa mengira perbezaan agama sesama mereka dalam persekutuan Ahzab menghadapi Islam.
“Tiba-tiba umat Islam berpecah kerana faktor kebangsaan berlainan, pecahan geografi dan geopolitik dirancang musuh serta perbezaan mazhab yang dijadikan seperti perbezaan agama.
“Adalah satu kebebalan apabila krisis Timur Tengah bagi menyelesaikan isu Palestin itu berimamkan kepada bekas penjajah.
“Begitu juga apabila berlaku krisis Teluk, musuh pula yang dijemput bukannya hendak berdamai dengan negara sahabat seagama dan berjiran tetangga.
“Kawan dijadikan musuh, musuh pula dijadikan kawan,” katanya pada Majlis Penutup Persidangan Antarabangsa Kesatuan Ulama Islam Sedunia dalam Sosiaopolitik 2021 (CIMS 2021) secara maya anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada Khamis.
Sementara itu, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, bagi bukan Islam yang hidup dalam masyarakat majmuk pula perlu diberikan kepercayaan, setelah selama ini mereka berjuang bersama ideologi asing dan menerimanya.
“Walaupun asing daripada mereka, kenapa mereka tidak boleh menerima penyelesaian Islam tanpa dipaksa menganuti Islam.
“Ini kerana, perpaduan berkonsepkan Islam pernah menciptakan sejarah kedaulatan Islam, kemudiannya menciptakan ‘hadharah islamiyyah’ yang memimpin dunia dan menyambung risalah Islam ke seluruh penjuru dunia,” katanya.