25 FEB: Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) merayu kerajaan mempertimbangkan supaya pengamal media di Malaysia dimasukkan sebagai golongan terawal menerima suntikan vaksin COVID-19 bagi membolehkan mereka melaksanakan tugas harian tanpa rasa takut dan bimbang.
Presidennya, Farah Marshitah Abdul Patah berkata, NUJM sangat mengalu-alukan pertimbangan untuk petugas media dimasukkan sebagai penerima terawal vaksin dalam fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang dilancarkan Perdana Menteri semalam.
Beliau berkata, tindakan itu perlu kerana pengamal media adalah golongan yang sangat terdedah kepada COVID-19 disebabkan cara kerja yang memerlukan mereka sentiasa berada di lapangan.
“Dari hari pertama penularan COVID-19 sehingga sekarang, kita tetap bekerja seperti biasa dengan mengambil risiko sendiri, malah ada yang terpaksa menanggung sendiri kos untuk melakukan ujian saringan.
“Vaksin ini akan membolehkan petugas media media menjalankan tugas dengan tenang tanpa dibayangi rasa takut setiap kali perlu berdepan dengan orang ramai dalam mencari berita,” kata Farah ketika dihubungi wartawan PN BBC hari ini.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata kerajaan negeri mencadangkan pengamal media antara kumpulan pertama menerima suntikan vaksin COVID-kerana mereka berisiko terkena jangkitan berikutan selalu bertemu dengan masyarakat ketika menjalankan tugas harian.
Pada Ahad lalu,, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin, mengesahkan guru dan pengamal media adalah antara kumpulan yang dipertimbangkan bagi menerima vaksin fasa pertama menerusi PICK yang bermula semalam.
Khairy yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) berkata, agihan itu bagaimanapun tertakluk kepada bekalan vaksin yang diperoleh negara bagi fasa pertama dan kajian risiko yang dilaksanakan.
Beliau berkata, permohonan vaksin bagi guru adalah wajar memandangkan sekolah sudah mula dibuka pada Mac ini.
“Kami terima banyak permintaan daripada kumpulan-kumpulan yang mahu mereka dimasukkan dalam fasa pertama PICK ini.
“Kita akui bekalan vaksin bagi fasa pertama tidak banyak kerana kita hanya ada satu juta dos yang mana 500,000 dos sudah diperuntukkan kepada barisan hadapan termasuk kakitangan kesihatan dan pasukan keselamatan,” katanya pada sidang media selepas menerima 312,390 dos kumpulan pertama vaksin COVID-19 Pfizer-BioNtech yang tiba Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Ahad lalu.