26 FEB: Jawatankuasa Tindakan Khas Menangani Masalah Sosial Mahasiswa ditubuhkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi meneliti dan menangani masalah sosial dalam kalangan mahasiswa.
KPT menerusi kenyataan media hari ini me maklumkan jawatankuasa tersebut dipengerusikan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mansor Othman serra dianggotai beberapa kementerian dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), termasuk wakil pelajar daripada institusi pengajian tinggi (IPT).
“Wakil daripada kementerian dilantik bagi menganggotai jawatankuasa ini terdiri darpada Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff; Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Marzuk Shaary.
“Jawatankuasa ini turut disertai wakil pelajar iaitu Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan, Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri; Yang Dipertua Universiti Kuala Lumpur, Ali Hanifah Amran dan Naib Presiden III, Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan, Muhammad Nazmi Hakimi Mohd Eirman,” kata kenyataan itu, hari ini.
Kenyataan itu turut memaklumkan, KPT amat prihatin terhadap pembentukan dan pemerkasaan sahsiah mahasiswa ke arah melahirkan individu bertanggungjawab serta prihatin terhadap ketidakseimbangan dalam pembangunan komuniti sejagat.
“KPT berharap penubuhan jawatankuasa dan jalinan kerjasama antara agensi ini dapat meningkatkan perkembangan sahsiah serta menangani permasalahan sosial mahasiswa secara holistik,” katanya.
Terdahulu, Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan, Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri berkata, statistik menunjukkan hampir 13,000 pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) berdaftar dengan aplikasi Sugarbook untuk mencari ‘sugar daddy’.
Berdasarkan rekod katanya, terdapat peningkatan lebih 40 peratus pendaftaran pengguna baharu aplikasi itu akibat desakan hidup sewaktu pandemik Covid- 19 masih lagi menular di seluruh dunia.
Dengan peningkatan jumlah pelajar IPT yang mendaftar dalam aplikasi ini, sudah tentu iaa amat membimbangkan kerana ianya menggambarkan keruntuhan moral. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH