26 FEB : Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Pulau Pinang mengesahkan telah mengadakan perbincangan bersama Gerakan dalam usaha menjalin kerjasama bersama Perikatan Nasional (PN) termasuk soal pengagihan kerusi kepada parti yang pernah menerajui negeri itu.
Perkara itu disahkan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri Datuk Shabudin Yahaya susulan satu pertemuan yang diadakan bersama pucuk pimpinan parti itu baru-baru ini.
“Kami (PN Pulau Pinang) mengalu-alukan kehadiran mereka dan perbincangan awal kita itu sebenarnya lebih kepada mencari kaedah terbaik untuk membentuk persefahaman bersama.
“Untuk itu juga, Ahad ini (lusa) kita akan adakan mesyuarat pertama jawatankuasa PN peringkat negeri dan jika tiada halangan, Gerakan akan menyertai mesyuarat yang berikutnya,” katanya.
Shabudin ditemui media selepas majlis penyerahan sumbangan van jenazah kepada pengurusan Masjid Jamek Al-Islah, Pokok Tampang, Tasek Gelugor, hari ini.
Mengulas soal pengagihan kerusi kepada Gerakan Shabudin yang juga merupakan Pengerusi Badan Perhubungan PN negeri, perkara itu masih di peringkat perbincangan dan bukannya keputusan.
“Kita perlu bincang semula (soal pembahagian kerusi untuk Gerakan) di peringkat PN bersama Pas serta parti komponen lain selepas ini.
“Buat masa ini, kita nampak kehadiran mereka lebih kepada soal persediaan untuk memastikan PN lebih berkesan dalam kempen di Pulau Pinang sekali gus memenuhi hala tuju kita untuk kembali merampas Pulau Pinang dan kita memang bersedia untuk ke arah itu,” katanya.