27 FEB: Semua kontraktor yang diberi peluang Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) membina Rumah Mesra Rakyat (RMR) di seluruh negara diminta mematuhi perjanjian yang dipersetujui dengan menyiapkan unit yang dibina mengikut jadual ditetapkan.
Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah berkata, kerajaan khususnya Kementerian Kewangan memandang serius perkara ini memandangkan inisiatif RMR adalah bertujuan memastikan rakyat terutama kelompok B40 yang tidak mempunyai tempat tinggal mendapat unit kediaman yang selesa dan sempurna.
Menurutnya, komitmen tinggi kontraktor diperlukan bagi bagi memastikan unit unit ini disiapkan mengikut jadual bagi memastikan rakyat mendapat tempat tinggal yang sempurna dan bantuan dari kerajaan pusat sampai kepada yang sepatutnya.
Jelas beliau, kerajaan berharap kerja-kerja pembinaan dapat dimulakan segera oleh kontraktor-kontraktor yang terlibat selepas inden kerja diserahkan dan memastikan setiap projek diselesaikan dalam tempoh tiga bulan.
“Sekiranya ada kontraktor menghadapi masalah termasuk kos pembinaan, tenaga kerja dan sebagainya, mereka perlu menghubungi pejabat SPNB Negeri dan berbincang dengan pegawai yang berkenaan.
“Dengan cara ini, sebarang masalah yang timbul dapat diatasi dengan sempurna dan semua pihak mendapat manfaat,” katanya selepas Majlis Penyerahan Inden Kerja RMR 2021, peringkat Parlimen Paya Besar, Kuantan hari ini.
Turut hadir Ketua Wanita UMNO Paya Besar, Datuk Safariah Awang Ngah dan Pengarah SPNB Pahang, Datuk Ahmad Islanizam A. Halim.
Pada majlis itu, sebanyak 46 inden kerja pembinaan RMR bernilai RM3.2 juta diserahkan kepada kontraktor yang terlibat.
Mohd. Shahar yang juga Ahli Parlimen Paya Besar turut menggesa semua penerima manfaat RMR untuk menjelaskan bayaran pinjaman pembiayaan unit kediaman masing-masing mengikut jadual yang dimeterai.
Tegas beliau, setelah rumah siap dibina dan diserahkan untuk didiami, penerima RMR mesti memastikan bayaran ansuran dilunaskan mengikut tempoh masa yang telah ditetapkan seterusnya membantu kerajaan memperluaskan inisiatif ini kepada pemohon di lokasi lain pula.
“Sewajarnya penerima RMR perlu memastikan bayaran tidak tertunggak kerana ia bakal memberi kesan kepada projek-projek seumpama pada masa hadapan.
“Saya difahamkan hutang tertunggak melibatkan SPNB Pahang telah pun mencecah RM2.2 juta membabitkan sebanyak 1,500 akaun di seluruh negeri ini,” katanya.