7 FEB: Pergerakan Pemuda UMNO dan Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) mendesak Kementerian Pendidikan (KPM) mengkaji semula buku teks Sejarah Tingkatan 4 kerana didakwa mengandungi indeologi komunisme dan unsur subversif yang bertentang dengan semangat patriotisme.
EXCO Pemuda UMNO, Aizat Azam berkata, beliau percaya desakan itu bukan hanya mewakili Pemuda UMNO semata-mata, malah rakyat Malaysia secara keseluruhannya.
Malah, Aizat berkata, desakan berkenaan juga disokong oleh 73 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tokoh akademik dan sejarawan yang prihatin terhadap pelbagai kesalahan terdapat dalam buku terbabit.
“Beberapa persoalan yang dibangkitkan termasuk kabinet mana yang meluluskan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) Sejarah yang dinyatakan KPM dalam kenyataan media mereka?
“Ini kerana 24 April 2018 yang disebut KPM sebagai tarikh DSKP diperakui sah adalah melewati tarikh Parlimen dibubarkan iaitu pada 7 April 2018. Ini bermakna proses penulisan dan percetakan berlaku selepas 24 April 2018.
“Siapakah kerajaan yang memerintah dari bulan Mei 2018 sehinggalah buku Sejarah ini dicetak sebagai Cetakan Pertama pada tahun 2019?
“Apakah benar ada ‘tangan ghaib’ daripada kalangan pimpinan politik sebagaimana yang didedahkan oleh Timbalan Pengerusi Sekretariat Gabungan 73 NGO, Datuk Yazid Osman?,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Justeru itu Aizat berkata Pemuda UMNO tegas membangkitkan isu ini atas dokongan kepada usaha yang dilakukan oleh 73 NGO, ahli akademik dan tokoh-tokoh sejarawan kerana sejarah adalah penting dalam mencorakkan identiti, jati diri dan akal budi bangsa dan generasi pewaris negara.
“Pemuda UMNO mendesak agar KPM segera menarik balik buku sejarah Tingkatan 4 dan memperbetulkan kembali fakta-fakta yang cuba dimanipulasi bagi merubah sejarah negara.
“Kami juga menggesa supaya siasatan polis segera dilakukan atas laporan-laporan polis yang telah dibuat oleh NGO-NGO seluruh Malaysia jika wujudnya campur tangan pihak-pihak tertentu dalam proses penulisan kandungan Buku Teks Sejarah Tingkatan 4 ini,” katanya.
Presiden i-Guru, Mohd Azizee Hasan pula menggesa KPM segera tampil memberikan penjelasan supaya tidak menimbulkan kegusaran dan polimik yang berpanjangan.
Mohd Azizee berkata, biasanya proses penyediaan buku teks adalah berdasarkan kurikulum yang dirangka dari panel pakar sejarah yang terpilih dan melalui proses semakan yang terperinci.
“Pemilihan penulis buku teks juga melalui saringan yang ketat dan dinilai oleh lmbga penilai buku teks yang terdiri dari pakar- pakar sejarah yang berautoriti dan kredibiliti seperti pensyarah universiti, guru cemerlang dan pegawai kurikulum,” katanya/
Jika ada dakwaan berkaitan, katanya, KPM perlu menilai semula kandungan dan membuat penambahbaikan manakala perlu ada siasatan yang terperinci dari laporan tersebut sama ada benar atau tidak.
“Aspek subversif atau elemen penerapan ideologi yang bercanggah dengan semangat patriotisme wajar dikekang dan dielakkan.
“Apa yang penting dalam penulisan buku teks ialah berpegang kepada disiplin sejarah iaitu kejujuran terhadap fakta-fakta sejarah,” katanya. – Oleh Haika Khazi