7 FEB: Tiada angin dan ribut, tiba-tiba tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor daripada Parti Amanah Negara (Amanah) hari ini mengesahkan mereka sudah keluar pasti berkenaan dan kini menyertai PKR.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Senggarang, Khairuddin A Rahim dalam satu kenyataan mengakui beliau bersama dua lagi ADUN dari Johor iaitu Faizul Amri Adnan (Serom) dan Muhamad Said Jonit (Makhkota) sudah menyertai PKR yang merupakan sekutu Amanah dalam Pakatan Harapan (PH).
Malah, Khairuddin berkata, kepemimpinan tertinggi Amanah sudah dimaklumkan mengenai ‘perpindahan’ mereka ke PKR selepas permohonan yang dihantar September tahun lalu diterima PKR sebulan selepas itu.
“Tiada sebab tertentu kami beralih kepada PKR apatah lagi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu Pakatan Harapan (PH) menggunakan lambang PKR untuk bertanding,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Difahamkan Khairuddin, Faizul Amri dan Muhamad Said mengambil keputusan meninggal parti serpihan PAS itu selepas mereka dikatakan tidak sebulu dan tidak puas hati dengan pemimpin Amanah Johor.
Bagaimanapun, Khairuddin menafikannya bahawa masalah terbabit menjadi punca beliau dan dua lagi rakannya ‘melompat parti’ menyertai PKR.
“Tidak benar. Saya ingin menafikan khabar angin itu. Hubungan kami baik-baik saja. Kami masih ahli dalam PH dan akan menjaga hubungan baik dalam gabungan,” katanya.
Mengulas mengenai kerusi Senggarang, Khairuddin berkata, beliau tidak akan mengekalkan kerusi berkenaan kerana ia milik Amanah.
“Saya akan ikut arahan pucuk pimpinan jika saya diletakkan sebagai calon nanti namun ia bukan kerusi Senggarang.
“Namun saya dan rakan akan terus membantu Amanah untuk mengekalkan kerusi Senggarang atau di mana saja kerana kami masih berada dalam PH.
“Apa yang penting kami buat kerja untuk manfaat rakyat dan akan terus memperjuangkan hak rakyat,” katanya.