27 FEB : Vaksin COVID-19 keluaran Sinovac yang diterbangkan dari Beijing, China menerusi penerbangan Malaysia Airlines MH319 selamat tiba di negara ini, hari ini.
Pesawat Airbus 330-300 dengan hiasan Jalur Gemilang yang membawa envirotainer mengandungi vaksin COVID-19 dalam bentuk cecair sebanyak 200 liter itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor, kira-kira jam 8.55 pagi
Vaksin COVID-19 yang dibangunkan firma farmaseutikal China, Sinovac itu diangkut menggunakan pesawat Passenger-to-Cargo (PC2) iaitu pesawat penumpang digunakan untuk perkhidmatan kargo, boleh diproses menjadi lebih 300,000 dos untuk keperluan Malaysia.
Ketibaan pesawat itu disambut Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan PICK) yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
Turut serta ialah Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing.
Ahad lepas, Malaysia menerima vaksin Covid-19 yang pertama dari jenis Pfizer-BioNTech sebanyak 312,390 dos.