28 JAN : Dua Ahli Parlimen pembangkang hari ini menyatakan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Perkara itu disahkan Muhyiddin menerusi laman Facebook miliknya selepas beliau mengadakan pertemuan bersama dengan dua bekas Ahli Parlimen Parti Kedilan Rakyat iaitu Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien dan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon sebentar tadi.
Pada pertemuan tersebut, Larry Sng dan Steven Choong menyerahkan aku janji untuk menyokong kerajaan PN.
“Hari ini saya menerima Akuan Bersumpah (SD) daripada dua Ahli Parlimen pembangkang yang menyatakan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Akuan Bersumpah oleh Ahli Parlimen Julau, Yang Berhormat Larry Sng Wei Shien dan Ahli Parlimen Tebrau, Yang Berhormat Steven Choong Shiau Yoon itu ditandatangani dan diserahkan kepada saya selepas sesi pemukiman anggota Jemaah Menteri sempena setahun kerajaan PN di Putrajaya,” katanya.
Terdahulu, Larry Sng hari ini telah meletak jawatannya sebagai Ketua Parti Keadilan (PKR) Sarawak serta jawatan-jawatan lain di dalam parti tersebut.
Perkara itu disahkan Ketua Wanita PKR Sarawak Agnes Padan yang memaklumkan keputusan itu dilakukan menerusi mesyuarat PKR peringkat negeri, semalam
Dalam pada itu, Perdana Menteri menyatakan kesyukuran kerana sokongan itu akan memberi kelancaran pentadbiran kerajaan dalam mengurus COVID-19 dan meningkatkan semula ekonomi negara.
“Alhamdulillah, sokongan ini tentunya akan mengukuhkan lagi kerajaan PN dalam usaha dan perancangan untuk mengurus pandemik COVID-19 serta memangkin kebangkitan semula ekonomi negara,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH