28 FEB : Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Idris Shah II, Gerik, Perak akan ditamatkan esok.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata PKPD di lokaliti yang dilaksanakan itu ditamatkan mengikut tarikh yang dijadualkan.
Menurut beliau, sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan 582 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 16 kes positif COVID-19 telah direkodkan.
“KKM mengesahkan tiada lagi kes aktif di lokaliti ini. Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, Kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di SMK Sultan Idris Shah II, Gerik, Perak pada esok seperti yang dijadualkan, “katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Ismail Sabri menyatakan Kerajaan turut melanjutkan PKPD di Penjara Tapah dan Kuartes Kakitangan, Batang Padang, Perak susulan penularan jangkitan masih berlaku dalam tahanan di penjara tersebut.
Tambah beliau, PKPD di kawasan berkenaan yang sepatutnya tamat esok akan dilanjutkan sehingga 15 Mac di samping KKM setakat ini telah melaksanakan 875 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 178 kes positif COVID-19 telah direkodkan.
“KKM mengesahkan terdapat sejumlah 505 baki sampel saringan yang masih menunggu keputusan.
“Atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju untuk melanjutkan PKPD di PKPD di Penjara Tapah dan Kuartes Kakitangan, Batang Padang, Perak bermula 2 Mac hingga 15 Mac 2021,” katanya.
Sementara itu, Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di asrama pekerja Imperial Garments Flat Anjung Tawas, Damai, Perak bermula esok sehingga 14 Mac hadapan.
Tambah beliau, KKM mengesahkan 524 orang telah disaring dan daripada jumlah itu, 213 orang positif COVID-19.
“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas hampir 2,808 orang pekerja warganegara serta bukan warganegara yang tinggal di lokaliti ini
“Dan seterusnya untuk mengawal jangkitan dalam komuniti,” katanya – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLA