1 MAC: Amerika Syarikat (AS) sedang merancang mahu mengenakan sekatan baharu terhadap Myanmar berhubung keganasan baru-baru ini susulan tunjuk perasaan membantah rampasa kuasa di negara ini lapor Agensi Berita Sputnik, memetik Penasihat Keselamatan Negara AS Jake Sullivan.
“Kami sedang mempersiapkan tindakan tambahan kepada mereka yang bertanggungjawab dalam keganasan dan rampasan kuasa baru-baru ini,” kata Sullivan dalam satu kenyataan pada Ahad.
Sekurang-kurangnya 18 orang maut dalam pertempuran antara polis dan penunjuk perasaan di Myanmar pada Ahad, menurut Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Setiausaha Negara AS, Antony Blinken mengecam kekerasan yang dilaporkan terhadap penunjuk perasaan di Myanmar.
“Kami mengecam kekerasan yang dilakukan pasukan keselamatan Myanmar terhadap rakyatnya dan menyeru semua megara bersama-sama menyokong perjuangan rakyat Myanmar,” tulis Blinken di Twitter.
Rakyat melancarkan tunjuk perasaan membantah kudeta tentera di beberapa bandar di Myanmar pada hujung minggu lalu.
Pada 1 Februari, tentera Myanmar melakukan rampasan kuasa, mengumumkan perintah darurat selama setahun, menahan Kaunselor Negara Aung San Suu Kyi, serta Presiden Win Myint dan beberapa pemimpin kanan Liga Demokratik Kebangsaan (NLD) dan berjanji akan mengambil tindakan terhadap tuduhan penipuan undi semasa pilihan raya 8 November.
Tentera berkata pihaknya komited terhadap sistem demokrasi dan berikrar mengadakan pilihan raya baharu setelah darurat tamat.
Tunjuk perasaan telah diadakan di seluruh Myanmar sejak tentera mengambil alih.
AS dan Britain telah mengenakan sekatan terhadap beberapa individu antaranya Leftenan Jeneral Moe Myint Tun dan Jeneral Maung Maung Kyaw yang dilantik sebagai anggota Majlis Pentadbiran Negeri.