1 MAC : Malaysia kembali merekodkan penurunan kes di bawah 2,000 iaitu 1,828 berbanding 2437 dilaporkan semalam.
Lebih membanggakan, kes kematian juga turut mencatatkan penurunan iaitu lima kes yang dicatatkan tengahari tadi berbanding semalam adalah sembilan kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata sehingga hari ini, jumlah kumulatif kes positif COVID-19 adalah 302,580 kes, manakala kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 25,542 kes.
“Hari ini, Johor telah mencatatkan bilangan kes COVID-19 harian baharu tertinggi iaitu 490 kes yang direkodkan di negara ini setakat hari ini diikuti Selangor, 453 kes dan Sarawak 220.
“Daripada jumlah kes baharu berkenaan, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan tujuh kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara, manakala penularan COVID-19 dalam negara adalah sebanyak 1,821 kes,” katanya menerusi kenyataan di Facebook miliknya, hari ini.
Dalam pada itu, Noor Hisham memberitahu sebanyak 198 kes kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 90 menerima bantuan alat pernafasan dan jumlah keseluruhan 1062 kematian setakat ini.
Pada masa sama, sebanyak 2,486 kes sembuh direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sebanyak 275,903 kes atau bersamaan dengan 91.18 peratus- Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH